Skip to main content

IBUKU SEORANG PEMBOHONG

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang
seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan
renungan anda sekalian.
Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak
lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering
kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan
masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan
bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk
pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur.
Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu,
tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya
pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan
tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.
Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.
Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau
hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di Negara orang." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan
sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa
bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

"Ya Allah, Ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani ku sejak kecil".

Popular posts from this blog

Winter Trip Jeju Island, Korea: Part 1

Assalamualaikum. Dah masuk tahun 2018, selamat tahun baru semua.  Banyak benda yang jadi dalam tahun 2017. Dari yang aku tak jangka, yang tak kesampaian, patah hati semualah. Yang paling tak sangka bila aku dapat juga curi masa untuk diri sendiri merawat hati yang terluka. chewwaaahh~ Kali ni nak share pasal trip musim sejuk aku dan geng travel si kakak ke Pulau Jeju sementara rasa teruja tu masih ada. Kitorang pun baru je balik tiga minggu yang lalu 16-19 Disember (semasa entri ni ditaip). Ceritanya, memang tak plan langsung nak keluar melancong untuk tahun 2017..sebab tahun ni merupakan starting point aku mula aktif dalam bidang fotografi secara serius. Banyak terlibat dalam ambil gambar job wedding, tunang, kenduri. Kembali aktif dengan kamera sebab masih belum dapat kerja yang tetap (hopefully soon to come). Dalam awal Oktober yang lalu, aku scroll timeline Facebook macam biasa, tuptup ternampak iklan dari page Air Asia mengkhabarkan yang route baru akan dibuk

Sejarah nahas yang terburuk di Sabah

I'M A SABAHAN  Nahas udara tidak kira melibatkan kapal terbang atau helikopter, sememangnya mahu dielakkan semua umat manusia, namun ia berlaku juga kerana pelbagai faktor seperti mekanikal, teknikal, cuaca, landasan, masalah pesawat dan kecuaian manusia. Berikut beberapa kejadian nahas udara terburuk yang pernah berlaku di bumi Sabah, sebagai iktibar dan pengajaran kepada semua. Marilah kita sama sama mendoakan semoga roh kesemua mangsa dalam nahas itu, diberkati dan ditempatkan di kalangan orang Soleh. Amin. Tun Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang terkorban dalam nahas udara 7 Jun 1976. Nahas itu menggemparkan Malaysia dan dunia. Ketua Menteri Sabah, Tun Mohd Fuad Stephens dan 10 yang lain termasuk menteri kabinet, terkorban apabila pesawat Nomad milik Sabah Air, terhempas kira kira 2 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Kejadian berlaku ketika pesawat hendak mendarat di Kota Kinabalu dari Labuan. Saksi mendengar dentuman di

Winter Trip Jeju Island, Korea: Part 2

Hai.. Ok kali ni buat sambungan dari post yang lepas.. From the day we depart to Jeju from KL and the next action..  Beware of another long post here.. :) DAY 1 (16.12.2017) Actually aku dan akak aku, kami dah sampai KL 15 haribulan lagi, flight kami dari KK jam 5 petang but delayed for half an hour..lambatlah kami sampai KLIA2 almost 8 PM macam tulah.. Tapi dia sempat lagi gerak gi UKM hantar barang dan tinggal aku tersadai sorang2 sambil tunggu dia datang balik. Geng yang lain (kak Fa, Ejay dan Nasyat) dorang naik flight dari Kota Bharu sampai KLIA2 pun dalam jam 11PM .. terus je gerak jumpa dorang kat Starbucks (departure hall), sebab 1st jumpa kan..kita icebreaking je apa yang patut. Lebih kurang sejam lebih lepas tu akak aku sampai dengan Amie sekali (geng bawa Nasi Brahim) kitorang. briefing sikit pasal trip kitorang dan ready nak chek in + drop luggage.. nasib takde yang lebih kilo..ahaha our 1st group selfie (From left: Nasyat, aku, Amie (depan),